Penyakit Kencing Manis

Kencing manis merupakan slaah satu penyakit yang tersenarai sebagai penyakit yang banyak dalam kalangan masyarakat. Malah, ada yang menamakannya dengan penyakit tiga serangkai, kerana penyakit kencing manis ini biasanya akan disusuli dengan penyakit buah pinggang dan masalah jantung.

Penyakit kencing manis boleh dibahagikan kepada dua jenis. Jenis yang pertama ialah ‘ Insulin Dependent Diabetes’ . Dalam hal ini, tubuh pesakit tidak dapat menghasilkan insulin dan menyebabkan dia terpaksa mengambil suntikan insulin secara berkala. Insulin ini merupakan hormon yang dirembeskan oleh pankreas serta memainkan peranan penting dalam mengawal tahap kandungan gula dan karbohidrat di dala tubuh manusia. Seandainya hormon ini tidak dapat dirembeskan dengan baik, maka kandungan gula dalam tubuh akan meningkat, jadi amat penting bagi seseorang pesakit itu untuk mendapatkan suntikan insulin secara berkala.

Jenis  yang kedua ialah ‘ Non-Insulin Dependent Diabetes’ , atau lebih mudah difahami dengan kencing manis yang tidak bergantung kepada insulin. Bagi jenis ini, seseorang pesakit mampu merembeskan insulin di dalam tubuh mereka, namun jumlah insulin yang dirembeskan adalah tidak mencukupi untuk kegunaan tubuh. Rembesan insulin yang tidak mencukupi ini adalah disebabkan daripada kesan turun naik paras gula yang melampau dalam darah beberapa kali sehari yang menyebabkan stimulasi insulin yang berlebihan.

amalkan gaya hidup sihat bagi mengelakkan kencing manis

Bagi pesakit kencing manis jenis yang kedua, tubuh mereka masih dapat menghasilkan hormon insulin walaupun dalam kadar yang sedikit. Jadi penyakit ini dapat dirawat dengan menggalakkan pesakit untuk melakukan senaman, pemantauan dari pengambilan makanan, pengurangan berat badan dan pengambilan ubat. Pesakit kencing manis pada jenis ini hanya akan mendapatkan suntikan insulin apabila pengambilan ubat tidak mampu memberi kesan positif atau memberikan impak negatif kepada pesakit.

Umumnya, penyakit ini sering dikaitkan dengan amalan pemakanan seharian dan kadar rekrasi serta penghasilan peluh dalam seminggu. Amnya, penyakit ini sering ditujukan bagi mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau obesiti. Penyakit ini dapat dielakkan dari awal dengan mengawal cara pemakanan. Seseorang itu hendaklah mengamalkan pemakanan yang seimbang dengan mematuhi piramid makanan yang telah ditetakan oleh pakar kesihatan. Kadar pengambilan makanan yang betul dan cukup dapat memberikan zat, vitamin serta tenaga yang mencukupi kepada tubuh badan tanpa memerlukan pengambilan yang berlebihan.

mari bersama-sama mencegah kencing manis

Selain itu, penyakit kencing manis ini dapat dielakkan dengan cara bersenam. Aktiviti bersenam mampu membakar lemak dan kolestrol dalam badan dan mengubahnya dalam bentuk haba dan peluh. Berjalan kaki juga merupakan antara aktiviti senaman ringan yang dapat mengurangkan kadar gula dalam badan.

Demikian serba sedikit perkongsian tentang penyakit kencing manis ini.  Diharapkan agar perkongsian ini dapat memberi kebaikan untuk para pembaca.