Tanda-Tanda Penyakit Kencing Manis

Sesiapa pun tidak mahu menghidap penyakit kencing manis. Hal ini kerana, pesakit kencing manis perlu melalui beberapa rawatan di samping terpaksa mengawal rapi tubuh badan dengan lengkap dan sempurna pada setiap saat. Namun, penyakit kencing manis bukanlah suatu penyakit yang mudah untuk dikenalpati pada peringkat awalnya. Melainkan ia akan mulai disedari apabila tahap penyakit itu sudah semakin serius. Oleh hal yang demikian, setiap individu hendaklah peka dengan keadaan tubuh badan mereka untuk mengesan adanya tanda-tanda penyakit kencing manis pada tubuh mereka.

mari bersama-sama mengurangkan kadar pesakit kencing manis di dunia

Tanda-tanda penyakit kencing manis yang pertama ialah, paras gula di dalam darah semakin meningkat. Bagaimanakah caranya untuk mengenalpasti kadar gula di dalam darah? Hal ini tidak lain hanya boleh dilakukan dengan membuat pemeriksaan doktor secara berkala bagi memastikan paras gula di dalam darah adalah normal. Selain itu, rasa dahaga yang terlalu kerap serta selalu buang air kecil juga merupakan tanda-tanda penyakit kencing manis. Bagaimana  hal ini terjadi? Apabila kadar gula di dalam darah meningkat, menyebabkan darah menjadi pekat. Buah pinggang terpaksa berkerja lebih keras untuk mengasingkan gula yang berlebihan. Natijahnya, seseorang itu akan kerap buang air kecil bagi membuang gula yang berlebihan dari dalam badan. Jadi, situasi ini telah menyebabkan tubuh kehilangan banyak air, oleh sebab itu seseorang itu akan kerap berasa haus biarpun telah minum banyak air.

kenali tanda-tanda kencing manis

Kehilangan berat badan mungkin menjadi suatu perkara yang disukai ramai. Namun, siapa sangka bahawa kehilangan berat badan secara tiba-tiba merupakan satu tanda awal bahawa seseorang itu sedang menghidap kencing manis. Kehilangan berat badan sebanyak 3-4kg dalam masa dua hingga tiga bulan merupakan suatu perkara yang perlu diselidiki di samping diraikan.

Seterusnya, seseorang akan kerap berasa lapar. Hal ini kerana, disebabkan tubuh tidak dapat merembeskan hormon insulin dengan baik, maka tahap gula di dalam tubuh akan jatuh disebabkan hormon insulin tidak dapat mengubah gula di dalam badan kepada tenaga. Hal ini menyebabkan seseorang itu berasa letih. Secara tidak langsung, badan seseorang akan menganggap mereka sedang lapar dan meminta agar mengambil gula. Maka hal ini disampaikan dengan isyarat bahawa seseorang itu sedang lapar.

Dalam masa yang sama,  penglihatan seseorang akan menjadi kabur. Hal ini kerana, peningkatan kandungan gula dalam tubuh menyebabkan bentuk kanta dan mata diubah dan menyebabkan penglihatan akan menjadi kabur. Namun, ia akan kembali pulih sekiranya tahap gula berkurang. Akan tetapi, sekiranya peningkatan tahap gula berterusan, hal ini akan menjadi lebih teruk dan seseorang itu juga boleh menjadi buta.

Demikian serba sedikit perkongsian tentang tanda-tanda penyakit kencing manis.  Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca.